PEJABAT DAERAH TAMBUNAN

Pejabat Daerah Tambunan, Peti Surat 25, 89657 Tambunan, Sabah, Malaysia.

Sejarah Daerah

Kisah asal usul Tambunan adalah satu cerita yang menarik yang diceritakan dari mulut ke mulut daripada satu generasi ke generasi yang lain di kalangan orang Kadazan / Dusun di Tambunan.
Tambunan adalah sebuah bandar di kawasan pedalaman di Sabah, kira-kira 80 km dari Kota Kinabalu dimana kebanyakan penduduknya berbangsa Dusun. Menurut Low Kok On Universiti Malaysia Sabah, pada awal abad ke-20, struktur sosial Dusun Tambunan terdiri daripada tujuh sub-suku iaitu Tuwawon, Tagahas, Tibabar, Bundu, Gunah, Palupuh dan Kohub. Hari ini suku Tuwawon, Tagahas dan Tibabar adalah sub-suku kaum yang masih tertumpu di Tambunan.
Pada zaman dahulu kawasan Tambunan hanyalah dipenuhi dengan hutan hujan tropika. Kawasan hutan ini menjadi habitat kepada pelbagai jenis haiwan, daripada lintah yang menghisap darah hinggalah kerbau liar Borneo. Tidak ada manusia yang menetap di kawasan ini pada mulanya. Namun setelah beberapa lama kemudian peneroka mulai berhijrah ke selatan dari Nunuk Ragang dan beberapa orang daripada mereka telah menetap di Tambunan.
Kumpulan orang pertama yang sampai ketika itu dipimpin oleh Gombunan. Beliau merupakan seorang pahlawan dari kalangan puak Nunuk Ragang. Beliau juga adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dan baik hati. Dia mula meneroka dataran Tambunan yang subur bersama-sama dengan pengikutnya termasuk isteri dan anak mereka. Kaum wanita ketika itu melakukan aktiviti pertanian seperti menanam padi huma, jagung ubi kayu, labu dan keladi. Kaum lelaki pula banyak menghabiskan masa dengan berburu binatang liar seperti tupai, babi hutan, rusa dan mengumpul hasil buah-buahan yang terdapat di hutan untuk dibahagikan kepada Masyarakat sebagai makanan harian. Setiap makanan dan hasi-hasil hutan diagihkan sama rata agar setiap orang akan berpuas hati dan gembira.
Apabila bilangan penduduk bertambah, lebih banyak kawasan telah dibuka untuk tujuan pertanian. Penduduk kampung itu yang mengelarkan diri mereka orang dataran (oleh kerana mereka tinggal di dataran Tambunan) telah bertambah maju dan hidup secara aman damai di bawah kepimpinan Gombunan.
Namun pada satu hari, sekumpulan pahlawan yang ganas dari puak Tonsundung yang datang dari kawasan berbukit bukau di sebelah timur telah datang menyerang orang dataran. Mereka memusnahkan tanaman, harta benda penduduk dan juga telah membunuh sebahagian daripada orang kampung itu. Pada ketika itu, Gombunan dan pahlawannya bertindak cepat dan berjaya menghalau mereka. Dan penyerang-penyerang tersebut telah mengalami kekalahan dan kecederaan yang teruk.
Puak Tonsundung yang marah atas kekalahan mereka itu bercadang untuk membalas dan ingin membunuh Gombunan. Suatu hari kemudian, terdapat lebih kurang 30 orang pahlawan Tonsundung telah menangkap Gombunan yang ketika itu sedang bersendirian di ladangnya dan membunuhnya. Mereka mencincang badannya dan membawa balik kepalanya sebagai tanda kemenangan. Kepala Gombunan telah digantung pada tiang yang tinggi bagi tujuan ritual (membaca mantera) membolehkan dan memperolok-olokkan kematian ketua orang dataran.
Orang Dataran berasa sangat sedih dan dukacita apabila mengetahui berita mengenai kematian ketua mereka. Mereka berkabung selama beberapa hari sebagai tanda menghormatinya dan bersumpah akan membalas dendam atas kematiannya. Sebagai tanda untuk mengenangkan jasanya mereka telah menamakan penempatan mereka itu GOMBUNAN.
Tidak lama selepasa itu, satu puak dari kawasan berbukit bukau di sebelah barat telah datang berhijrah ke kawasan dataran. Mereka adalah puak Tamadon. Orang Tamadon merupakan puak yang ramah dan baik terutamanya kepada orang puak Gombunan. Mereka bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam melawan puak Tonsudung kerana mereka sedar bahawa puak Tonsundung akan menyerang puak Tamadon.
Oleh itu sebagai langkah persediaan untuk menghadapi serangan mengejut daripada puak Tonsundung, puak Tamadon telah bergabung dengan puak Gombunan. Pada masa yang sama juga, puak Tonsundung telah merancang untuk membunuh semua puak Gombunan. Tetapi mereka tidak sedar akan gabungan dan pakatan daripada puak Tamadon dan Gombunan. Apabila tiba masanya untuk puak Tonsundung menyerang, alangkah terkejutnya mereka melihat akan jumlah pihak lawan mereka yang ramai. Namun begitu, pertumpahan darah yang dahsyat tidak dapat dielakkan.
Lebih daripada separuh bilangan puak Tonsundung telah terbunuh dalam peperangan itu. Pahlawan-pahlawan yang terselamat pula telah melarikan diri ke hutan di sebelah timur dan tidak lagi kelihatan. Dibandingkan dengan puak Tamadon dan Gombunan, jumlah yang terkorban dan yang mengalami kecederaan hanyalah sedikit. Puak Gombunan dan puak Tamadon kemudiannya merayakan kemenangan mereka dengan mengadakan pesta secara besar-besaran dimana makanan dan minuman seperti tapai dihidangkan. Kemuncak upacara itu ialah dengan menamakan semula penempatan dari Gombunan ke Tambunan. Selepas mendapat persetujuan orang orang tua kedua-dua puak.
Nama “TAMBUNAN” adalah hasil gabungan daripada perkataan “TAM” yang telah diambil dari perkataan Tamadon (Puak Tamadon) dan “BUNAN” yang diambil dari Gombunan (Puak Gombunan).



Sumber: Pejabat Daerah Tambunan